Archive | September, 2010

Sambutan Aidil Fitri 1431H SMK Karak Setia

26 Sep

Bertempat di Kantin SMK Karak Setia, pada tarikh 25 September telah berlangsung Sambutan Aidil Fitri peringkat sekolah. Majlis bermula jam 10.20 pagi, semua warga semkas berkumpul di kantin. Dengan di “deejay”kan oleh PK HEM yang bijak bermain kata-kata, menyebabkan majlis bertambah meriah. Di antara tetamu jemputan ialah YDP PIBG, EN. Bukhari bin Jumaat dan AJK. Bermula dengan bacaan Doa, Ucapan PK 1 dan Ucapan Wakil Pelajar, Adik Shahril. Seterusnya sambil menjamu selera, majlis diserikan dengan persembahan pelajar dan guru. Setiap tingkatan membuat persembahan dan guru yang bertuah dipilih untuk mensumbangkan lagu ialah “deejay” sendiri di atas permintaan pelajar. Majlis berakhir pada jam 1.30 petang setelah gotong-royong membersih dan mengemas dijalankan.

Marilah kita sama-sama menghayati artikel berikut yang saya petik dari Mufti Brunei

Bagaimana Cara Menyambut Aidilfitri ? Bab Akhir

MENGHAYATI IDULFITRI

(Bilangan 111 Bahagian Akhir)

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa’ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

Hari Raya Fitri adalah hari persaudaraan dan hari kegembiraan maka di hari ini adalah disunatkan sesama Islam saling mengucap tahniah dengan doa-mendoakan di antara satu sama lain seperti mengucapkan:

Ertinya: “Semoga Allah menerima daripada kita dan menerimanya daripada awak”

Hukum sunat mengucapkan tahniah di Hari Raya ini diperakui oleh Ibnu Hajar Rahimahullah.(Hasyiyatan 1:359)

Adapun maksud dari kalimah tahniah yang berbentuk doa ini membawa makna semoga diterima puasa dan amal kebajikan yang dibuat di bulan Ramadhan.

Dengan penjelasan di atas membuktikan bahawa hari Raya orang Islam berbeza sekali konsepnya dengan hari raya orang bukan Islam apatah lagi ianya disambut sebaik sahaja selesai menunaikan ibadah puasa. Kalau non muslim berhari raya hanya sekadar untuk berhibur dan bergembira walau ada kaitan dengan unsur keagamaan, maka kita sebagai umat Islam bukan itu cara dan konsepnya. Berhibur di dalam hari raya orang Islam berkonsepkan ibadah sebagai melahirkan syukur kita kepada Allah Subhanhu wa Ta‘ala.

Sebilangan umat Islam hari ini amat mendukacitakan kerana tidak faham akan konsep hari raya yang sebenar lalu tidak dapat menghayatinya sehingga merayakannya seperti mana orang-orang bukan Islam berhari raya. Kalau bangsa lain umpamanya mempunyai lagu khas sempena hari raya mereka maka kita pun memilikinya bahkan lebih daripada mereka dengan rentak dan irama yang bermacam-macam. Perkara ini sebenarnya boleh mendatangkan tanggapan negatif bagi orang-orang bukan Islam terhadap Islam. Mereka menganggap bahawa hari raya orang Islam tidak jauh bezanya dari hari-hari perayaan mereka iaitu hanya sekedar untuk melahirkan rasa gembira dan berhibur.

Selain itu dengan corak sambutan yang mereka lakukan itu adalah kesan dari tidak menghayati Ramadhan sepenuhnya kerana Ramadhan adalah bulan Qana‘ah yang mana dengan itu mampu menghindarkan kita dari memboros dan berlebihan di dalam menyambut Idulfitri.

Kita perlu sedar bahawa hari raya inilah hari menerima ganjaran bagi mereka yang benar benar beramal di bulan Ramadhan.

Hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam diriwayatkan daripada Sa‘ad bin Aus Al-Anshariy daripada ayahnya Radhiallahu ‘anhu Baginda bersabda yang maksudnya :

“Apabila tiba hari Raya fitri berdirilah malaikat di pintu-pintu jalan lalu menyeru: “Pergilah wahai kaum muslimin menghadap Tuhan yang Pemurah yang memberikan kebajikan kemudian memberikan pahala yang banyak, demi sesungguhnya kamu telah diperintahkan untuk melakukan qiamullail maka kamu membuatnya, dan kamu diperintahkan untuk berpuasa pada siangnya maka kamu berpuasa, kamu juga mentaati Tuhan kamu maka kamu terimalah balasan kamu, maka apabila bersembahyang maka akan menyerulah orang yang menyeru: “Ketahuilah bahawasanya Tuhan kamu telah mengampunkan kamu dan pulanglah menuju tunggangan kamu dan itu adalah hari menerima balasan dan dinamakan hari itu di langit sebagai hari al- Ja‘izah (hari mendapat ganjaran)
. (Hadis riwayat At-Thabrani)

Oleh yang demikian marilah kita sama-sama memperbanyak amal ibadah di hari ini dengan tidak mencampur-baurkannya dengan perkara maksiat. Seperti berziarah umpamanya, yang mana amalan berziarah ini sangat dituntut oleh Islam . Lebih-lebih lagi masyarakat kita mengambil kesempatan hari raya ini untuk kunjung-mengunjugi sayugialah jangan dicemari dengan pergaulan bebas di antara yang bukan mahram serta aktiviti yang merosakkan keimanan yang telahkita sucikan di sepanjang Ramadhan, seperti pesta tari-menari dan berkaroake sehingga mengganggu ketenteraman jiran-jiran yang berdekatan yangmana perbuatan ini adalah amat di tegah di dalam Islam. Selain dari itu amalan besedekah di hari raya ini adalah juga merupakan tuntutan sunat di mana Baginda menganjurkan untuk bersedekah sebaik sahaja selepas menunaikan sembahyang hari raya.

Kesimpulannya hari raya fitrah ini adalah hari hablun minallah dan hablun minannas iaitu hari mempererat serta dan memperkukuh hubungan diantara makhluk dengan Khaliq dan diantara makhluk dengan makhluk.

Maka sama-samalah kita hidupkan malam dan siang hari raya ini dengan perkara yang disunatkan sama ada yang langsung dijelaskan oleh hadis Baginda atau yang secara mafhumnya adalah dituntut di dalam Islam berpandukan huda (petunjuk) Rasulullah yang mana jika kita mengikut sunnah Baginda bererti kita mencintai Allah sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya :

“Katakannlah (wahai Muhammad) jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku nescaya Allah mengasihi kamu”

(Surah Ali ‘Imran:31)

Sumber : Mufti Brunei

Bagai Kaca Terhempas Ke Batu

22 Sep

” Bagai kaca terhempas ke batu, maksudnya sangat sedih atau kecewa ” ujar Puan Rodiah, PK kokurikulum SMK Karak Setia menyampaikan mutiara kata kepada murid-murid di perhimpunan pagi ini.

” Sebelum saya meyampaikan mutiara pada pagi ini minta anak-anak keluarkan buku nota ya”. Minta Puan Rodiah sebelumnya.

Dan hakikatnya saya terasa bagai kaca terhempas ke batu dengan keadaan murid-murid yang masih belum mengamalkan membawa dan mencatat di dalam buku nota tentang apa sahaja yang difikirkan baik untuk diri mereka.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud :

” Bacalah, dan tuhanmu yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”
Surah al-’Alaq : 3-5

Al-Quran menyebut “pena dan tulisan” yang boleh kita kiaskan kepada pengambilan nota. Nota adalah sangat diperlukan kerana kekuatan mengingat manusia adalah agak terhad. Dengan mencatat nota seseorang dapat mengulangkaji dan mengingat idea-idea dan isi-isi penting, lebih-lebih lagi kepada seorang pelajar.

Diantara ciri-ciri nota yang berkesan ialah :
1. Mampu menarik minat lantas membantu meningkatkan daya ingatan
2. Bersifat mantap, padat dan seronok dibaca
3. Mudah di bawa ke mana sahaja
4. Mempunyai kata kunci

Terdapat berbagai jenis nota yang boleh digunakan oleh murid-murid. Antaranya ialah berbentuk peta minda, linear, Cornell, tulang ikan dan macam-macam lagi.

http://myskillmentor.com/academicskills.htm

Budaya buku 3,5 yang dicadangkan dan dilaksanakan di SMK Karak Setia ini wajar diikuti oleh murid-murid untuk menjadikan anda seorang yang sentiasa prihatin dengan maklumat penting dan seterusnya menjadi seorang pelajar yang bijak dan cemerlang.

Inisiatif Jalur Lebar Negara dan telekom Malaysia

21 Sep

Kembali semula ke rumah setelah beraya di kampung. Di kampung, ulang sekali lagi di kampung di Selinsing, saya dapat meng’up-dated’ blog dengan mudah menggunakan Maxis Broadband kerana line 3G yang jelas kedapatan di sana. Di rumah, di Karak menggunakan broandband, sangat mengecewakan. Rasanya Selinsing itu kampung dan Karak itu bandar. Selinsing broadband, karak jadi berukband. Walaubagaimanapun dapatlah juga sesekali menge’check’ e-mail. Itu cerita Broadband dan berukband di kampung dan di bandar Karak.

Satu lagi cerita.

” Itu kena tanya kontraktor yang pasang kabel di tempat tuan” jawab pekerja di Kedai Telekom daerah Bentong apabila ditanyakan soalan macammana saya nak pasang streamyx di rumah saya. MasyaAllah begitu ke urusan sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan jalur lebar kepada masyarakat awam di Malaysia ni. Nampaknya inisiatif Jalur Lebar Negara ni hanya akan tinggal inisaiatif sajalah, Cakap banyak pun tidak berguna. Bilalah agaknya Kabel dasar laut nak pasang di taman saya ni agaknya.

Apa Pendapat Anda Tentang Penokok Zat (Supplement)

16 Sep

SALAM AIDILFITRI 1431H

16 Sep

Assalamualaikum.

Kepada semua yang mengenali, semoga semuanya berada di dalam keredaan Allah jua hendaknya.

Ameer keletihan beraya sehingga dalam berdirinya dia sedang tidurrrr

"Abi!! Kakak turunkan adik ni yea!"

"Akhirnya, kakak berjaya dudukkan adik"

SMK KARAK SETIA, SEKOLAH BARUKU DAN MAJLIS KHATAM AL-QURAN SERTA IFTAR PERDANA

16 Sep

Mulai  16 Jun 2010 bermula tugas saya di SMK Karak Setia. Sebuah sekolah yang baru dibuka dan pada hari melaporkan diri di sini, hanya ada 16 guru dan 133 murid. Diketuai oleh Puan Norani binti Mohd Ludin dan dibantu oleh Puan Rohani bt Abu Bakar, En. Sabaruddin bin Abu Hashim dan Pn. Rodiah bt. Zakaria. Saya diberi tugas sebagai SU Kurikulum, SU Bina Insan dan SU Bilik Gerakan di samping tugas berat memastikan secara khusus  Pendidikan Islam menjadi matapelajaran yang diminati dan memastikan semua murid suka belajar.

Sekolah baruku yang baharu

Surau SEMKAS nun di hujung sana

Sehari sebelum cuti Raya Aidl Fitri, unit Bina Insan dengan bantuan PIBG telah mengadakan aktiviti Ihya Ramadan. Pada Hari tersebut sahaja ada 3 program utama yang berlangsung. Pertamanya, Majlis Khatam Al-Quran. Kedua, Majlis Berbuka Puasa dan ketiga Solat Berjamaah Maghrib, Hajat, Isyak dan Tarawih.

Alhamdulillah Majlis berjalan lancar. Pada hari kejadian Majlis Khatam di ketuai oleh Ustaz Zul Hashimi bin Mohamad Yunus, Qari Negeri Pahang, sebagai guru yang menyemak bacaan murid-durid yang menyertai majlis khatam ini. Majlis juga disertai oleh Imam Masjid Karak Setia, Ustaz Mahmud yang membacakan doa khatam Al-Quran. Ustazah Saadiah, Penyelia Pendidikan Islam dari PPD Bentong juga telah menyampaikan bunga telur kepada peserta.

Antara peserta Majlis Khatam Al-Quran

Adik Shahril memperdengarkan bacaannya

Bagi Majlis Berbuka Puasa pula SEMKAS telah di datangi oleh PPD Bentong, En Liew Kim Choon sendiri yang sama-sama ingin melihat suasana berbuka puasa yang dianjurkan. Pihak sekolah juga berbesar hati menjemput Tuan PPD untuk menyampaikan sumbangan kepada murid-murid  anak yatim yang terdiri dari 12 murid yang Bergama Islam dan 4 murid yang bukan Islam. Pihak SEMKAS juga telah mengundang tetamu-tetamu luar terdiri dari ketua masyarakat setempat, ketua-ketua jabatan sekitar komuniti dan tetamu dari Bentong-Selangor Raw Water Transfer Company, iaitu CEO nya En. Takada.

Seterusnya setelah selesai berbuka dengan hidangan istimewa yang disediakan sendiri oleh warga SEMKAS yang diketuai Pn. Zarina dan En. Mohd Shaari, semua tetamu yang beragama Islam bergerak ke Surau untuk Solat. Semua solat di imamkan oleh Ustaz Zul Hashimi dan majlis berakhir dengan sedikit juadah moreh di mana jam menunjukkan pukul 9.45 malam. Terima Kasih kepada semua yang terlibat dan memastikan program ini berjalan dengan baik. Alhamdulillah.

ps : gambar dari Cg. Nazri belum dapat lagi. Nanti akan dimuat turun, InsyaAllah.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.